TENIS
Sukan SEA: Assri, Syed Agil perkemas keserasian
Prospek pingat negara dalam beregu lelaki tenis Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Mohd Assri Merzuki dan Syed Agil Syed Naquib, berdepan kesuntukan masa untuk mencari keserasian di sebalik tuntutan tinggi untuk menghadirkan kejayaan.
Senario mereka perlu membentuk keserasian dalam tempoh singkat bukan kerana faktor persefahaman antara mereka, sebaliknya disebabkan kecederaan yang membelenggu Syed Agil.
Mereka berpeluang untuk memperkemaskan gandingan dalam saingan Terbuka Kuala Lumpur yang juga merupakan aksi kompetitif terakhir sebelum temasya KL2017.
Mereka layak ke suku akhir selepas menewaskan pemain daripada Sirkit Universiti, Iskandar Afiq dan Faez Said, 6-3, 6-0.
"Saya sangat berpuas hati dengan persembahan kami hari ini.
"Kami tidak bergandingan hampir tujuh bulan.
"Kami masih memerlukan beberapa perlawanan lagi untuk mendapatkan keserasian seperti dahulu.
"Bagaimanapun, saya mempunyai keyakinan tinggi terhadap gandingan kami dan semuanya akan berjalan dengan baik," kata Assri.
Assri tidak berselindung di sebalik kemahuan untuk memenangi gelaran dalam Terbuka Kuala Lumpur bersama Syed Agil.
Dia sedar kemenangan berupaya memantapkan mereka sebagai gandingan untuk sekurang-kurangnya memenangi gangsa dalam KL2017.
"Saya berharap kami akan terus meningkat dan sasaran dalam Terbuka Kuala Lumpur ini adalah untuk muncul sebagai juara."