SUKAN LAIN
Sukan SEA: Agil, Assri beri isyarat emas
Pemain tenis negara, Syed Mohd Agil Syed Naguib, mencipta kejutan bersama pasangannya, Mohd Assri Merzuki, dengan menjuarai kategori beregu lelaki Kejohanan Tenis Terbuka Kuala Lumpur hari ini meskipun baru pulih daripada kecederaan pergelangan tangan.
Ia merupakan kejohanan pertama Syed Agil selepas mengalami kecederaan itu pada Mac lalu yang memaksanya berehat selama tiga bulan.
Biarpun baru pulih dan hanya kembali berlatih pada awal Julai, Syed Agil menunjukkan semangat tinggi bersama Assri untuk menewaskan lawan mereka, Koay Hao Sheng dan Ahmad Deedat, dalam aksi final yang berkesudahan 6-2, 7-5 di Gelanggang Tenis Jalan Duta.
Iklan
"Sebab dah banyak rehat sebelum ini dan apabila mahu menyesuaikan diri dengan permainan pantas, saya seperti lambat sedikit.
"Tetapi keseluruhannya saya boleh meningkatkan corak permainan dan saya gembira," kata Syed Agil.
Sementara itu, Assri berkata: "Permainan hari ini adalah rancangan kami di mana kami mahu melakukan yang terbaik. Alhamdullilah. Kami melakukanya dengan baik."
Namun, impian seorang lagi wakil negara, Aslina Chua, untuk mencipta kejayaan dalam perseorangan wanita tidak kesampaian apabila tumpas 1-6, 5-7 kepada pemain Uzbekistan, Polina Merenkova.
Aslina sebelum ini sudah pun meraih gelaran juara bersama Jawairiah Nordin dalam acara beregu wanita apabila menundukkan wakil Vietnam, Tran Thi Tam Hao dan Si Boi Ngoc, semalam.
Secara keseluruhan, ketua jurulatih negara, Mulyadi Jamal, berpuas hati dengan prestasi pemain negara sepanjang kejohanan ini yang turut dijadikan sebagai Kejohanan Pra-Sukan SEA Kuala Lumpur.
"Saya pun tidak sangka dengan kejayaan itu. Mereka bermain dengan bersungguh-sungguh dan betul-betul mahu menang untuk kejohanan kali ini," katanya.
Must-Watch Video