SUKAN LAIN
Sukan SEA: Adam pamer peningkatan mendadak
Prestasi atlet cilik luncur air negara, Adam Yoong Hanifah, semakin memuncak menjelang Sukan SEA 2017 selepas dua kali berjaya memecahkan rekod kebangsaan dipegang abangnya, Alex Yoong, dalam acara tricks dalam dua kejohanan antarabangsa di Florida, Amerika Syarikat.
Adam, yang baru berusia sembilan tahun, dilihat menjadi prospek terbaharu emas negara apabila mempamerkan peningkatan mendadak dalamPiala Masters Sunset Lakes LCQ Records, Florida, Mei lalu.
Rekod sejak tahun 1993 yang dipegang Alex dengan 3,830 mata berjaya dipecahkan Adam yang melakukan 3,920 mata dalam pusingan pertama kejohanan sebelum sekali lagi memperbaharui rekod kebangsaan menerusi catatan 4,040 mata, sekaligus menduduki tempat pertama kategori bawah 13 tahun.
"Perkembangan saya agak baik ketika ini. Dalam kejohanan pertama saya di Florida, saya berjaya melakar rekod kebangsaan menewaskan rekod abang saya, Alex," ujar Adam.
Sementara itu, ibunya, Norzeela Sulaiman, yang juga jurulatih Adam, teruja dengan peningkatan anaknya itu selain mengakui abangnya, Aiden Yoong Hanifah, juga memberi persaingan sengit.
Dia yakin mereka berdua yang kini di belakang calon pilihan, Dimas Ridho Suprihono dari Indonesia, mampu melakar kejutan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.
"Kedua-dua mereka sangat kompetitif. Oleh kerana mereka masih muda, jadi mereka tidak menghadapi sebarang tekanan.
"Saya yakin prestasi mereka akan bertambah baik saban hari, saya optimis kami mampu mengejar pingat emas," kata Norzeela.