SEPAK TAKRAW
Sukan SEA 2025: SEAGF luluskan 11 pingat emas menerusi sepak takraw
Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) meluluskan 11 pingat emas menerusi acara Sepak Takraw pada Sukan SEA Thailand 2025 walaupun pada awalnya Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) hanya menyarankan 10 pingat sahaja.
Perkhabaran gembira itu dimaklumkan selepas usai mesyuarat SEAGF di ibu pejabat Jawatankuasa Olimpik Thailand (TOC), Bangkok, kelmarin.
Begitupun, SEAGF hanya menolak acara regu campuran sahaja tetapi bersetuju dengan saranan Astaf untuk memasukkan acara Chinlone dalam temasya ke-33 di Thailand itu nanti.
Iklan
Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader, berasakan keputusan itu sesuatu yang positif buat sukan sepak takraw di Asia Tenggara lebih-lebih lagi dengan penyertaan Timor-Leste yang turut akan menyertai acara itu nanti.
"Ini satu pencapaian dan berita yang menggembirakan Astaf dan pastinya 11 negara peserta Sukan SEA termasuk Timor-Leste yang berjinak-jinak dengan sepak takraw sejak Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand di Korat pada September 2024.
"Hanya satu acara chinlone iaitu perkaitan yang dikekalkan daripada Sukan SEA Kemboja 2023 atas dasar setiakawan dan muafakat serta tolak ansur malah dengan mengambil kira pengalaman penyertaannya oleh kebanyakan negara sejak Sukan SEA Myanmar 2013.
"Astaf juga mahu lebih banyak negara rantau Asia Tenggara ini menikmati pingat emas, perak dan gangsa sekali gus menjamin kemajuan dan kemampanan sukan sepak takraw.
"Kelayakan penyertaan setiap negara akan ditetapkan oleh Astaf dan disarankan semula kepada tuan rumah Thailand dalam masa terdekat selepas kami mengadakan perbincangan dengan beberapa negara termasuk Malaysia." katanya.
Must-Watch Video