SUKAN LAIN
Sukan SEA 2019: Persiapan skuad bola jaring berjalan lancar
Tracey Robinson melaungkan keyakinan terhadap kemampuan skuad bola jaring Malaysia bimbingannya untuk mengekalkan status juara selain merencana strategi untuk menyekat kebangkitan musuh tradisi, Singapura, dalam Sukan SEA Filipina dari 30 November hingga 11 Disember depan.
Untuk rekod, dalam Kejohanan Asia 2016 di Bangkok, Thailand, skuad kebangsaan di bawah kendalian Robinson menamatkan kemarau 31 tahun apabila muncul juara peringkat benua disusuli pingat emas Sukan SEA 2017.
Buat masa ini, skuad negara meniti landasan tepat dengan menjalani latihan intensif sempena temasya dwitahunan itu.
Iklan
Selain pendedahan perlawanan dalam kejohanan di Hong Kong dan Sri Lanka, lima pemain muda negara sedang mendapat pendedahan dalam Kejohanan Remaja Asia di Jepun.
"Kami memiliki lima pemain pelapis dalam skuad senior.
"Mereka masih berkesempatan untuk menyertai Kejohanan Remaja Asia.
"Mereka akan meraih pengalaman berguna dalam kejohanan seperti itu," kata jurulatih dari Australia itu di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, pagi tadi.
Robinson optimis kemenangan bakal menjadi milik skuad negara, namun tidak mengetepikan persiapan pencabar-pencabar Asia Tenggara yang lain untuk merampas emas.
"Saya agak berpuas hati dengan persiapan kami menjelang enam bulan lagi temasya bermula.
"Kami menjuarai kejohanan di Hong Kong dan Sri Lanka.
"Sebaik pulang, kami menyambung persiapan dengan latihan keras, jadi saya agak berpuas hati," katanya.
Must-Watch Video