SEPAK TAKRAW

Sukan SEA 2019: Peluang Hairul Hazizi bukti kredibiliti sebagai tekong utama

Penulis Jemputan 25/07/2019 | 05:36 MYT
Pemain sepak takraw negara, Hairul Hazizi Hadzir, sedia mengisi kekosongan posisi tekong utama apabila sebelum ini kehadirannya dalam pasukan kerap dibayangi bekas rakan sepasukan, Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Razak.
Hairul bukan asing dalam kancah skuad kebangsaan dan pengguguran Syahir dan Zulkifli jelas mengecewakannya, namun dalam masa yang sama, dia tidak menyembunyikan hakikat bahawa inilah peluang terbaik untuknya menyinar.
Hairul mewakili Malaysia dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 serta Sukan Asia Indonesia 2018, tetapi lebih kerap diletakkan sebagai pilihan ketiga.
"Tipulah kalau ada pemain yang mengatakan tidak berhasrat menjadi tekong utama.
"Kami cuma perlu buat yang lebih baik daripada pemain yang ada kerana kalau mereka (Syahir dan Zulkifli) ada sekalipun, posisi itu memang milik mereka.
"Tetapi apa yang saya boleh tawarkan, saya mahu berikan saingan dan tidak memberi laluan selesa kepada mereka, itulah prinsip yang saya tekankan," ujarnya.
Hairul kini diberikan tanggungjawab sebagai penolong kapten bersama-sama pemain senior, Farhan Adam, yang bertindak sebagai ketua pasukan.
Dia masih perlu bersaing dengan empat lagi calon tekong -- Said Ezwan Said De, Syahmi Husin, Zarif Marican dan Ahmad Aizat Nor Azmi -- untuk merebut tempat ke Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan.
"Walaupun mereka tiada dalam skuad, doa mereka sentiasa mengiringi kami yang bakal ditugaskan dalam Sukan SEA 2019.
"Insya-Allah, kami akan cuba bawa balik pingat emas seperti yang pernah dilakukan skuad sebelumnya," tambahnya.
;