OLAHRAGA

Sukan SEA 2019: KOM beri peluang kepada Fatimah, Komalam

Penulis Jemputan 11/01/2018 | 11:56 MYT
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengambil langkah berani mencalonkan Siti Fatimah Mohamad dan S. Komalam Shally dalam Program Sukan SEA 2019 walaupun gandingan pecut itu pernah dilanda masalah disiplin ketika Sukan SEA Kuala Lumpur, tahun lalu.
Mereka diberi peluang dan akan dicalonkan untuk membarisi program tersebut apabila KOM mengadakan mesyuarat bersama Majlis Sukan Negara (MSN), esok.
Kedua-dua pelari itu masih lagi yang terbaik di Malaysia, terutama Fatimah yang meraih tempat kelima acara 100m dalam Sukan SEA lalu.
"Ia terpulang kepada pemilihan kami esok untuk menentukan sama ada apa yang dipamerkannya selama dua tahun ini memadai untuk membolehkannya berada dalam kelompok Sukan SEA 2019.
"Jika ya, tawaran akan dikeluarkan. Sama ada terima atau tidak terpulang kepadanya tetapi pemilihan ini dibuat berdasarkan kriteria yang kami tetapkan," kata ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas.
KOM akan mencalonkan 68 atlet ke Sukan SEA Filipina 2019, termasuk keseluruhan skuad olahraga yang meraih lapan pingat emas dalam temasya lalu.
Sementara itu, Zainal mengesahkan jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim, sudah dibenarkan keluar daripada hospital ekoran jangkitan kuman di paru-paru.
"Dia boleh mengambil masa sebanyak mana yang dia mahu. Pada masa sama, dia masih lagi melakukan perancangan untuk atlet-atletnya.
"Walaupun tidak berada di trek bagi memantau latihan secara langsung, dia masih merangka perancangan untuk atlet di bawah kendaliannya," ujarnya.
;