SUKAN LAIN
Sukan SEA 2019: Fuad tidak anggap masalah latihan sebagai halangan besar
Ketua jurulatih tinju negara, Azmi Mohd Yunus, berdepan kesukaran untuk menghadirkan kejayaan sama seperti dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila hanya meletakkan sandaran kepada tiga atlet menjelang temasya dwi-tahunan itu yang akan berlangsung di Filipina dari 30 November hingga 11 Disember depan.
Malaysia bakal membariskan tiga atlet tinju sahaja dalam Sukan SEA Filipina, iaitu Fuad Redzuan bagi kategori lightweight (bawah 49kg), R. Indran, (middleweight: bawah 71kg) dan Arfiqanie Ahmad Anshori (bantamweight: bawah 56kg).
Ia jauh lebih kecil berbanding ketika penyertaan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang menyaksikan skuad negara mempertaruhkan enam atlet untuk meraih satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa.
Dengan keadaan sudah berubah memandangkan atlet seperti Adli Hafidz Pauzi telah beralih ke kancah profesional selain beberapa atlet lagi sudah tidak bersama kem kebangsaan lagi, Azmi mengakui prospek untuk menghadirkan lebih banyak pingat di Filipina akan menjadi lebih sukar.
"Saya memberikan tumpuan khusus kepada Fuad agar misi kami dalam Sukan SEA tercapai.
"Bagaimanapun, kalau rakan sepelatihnya tiada dan pertarungan persediaan tidak mencukupi, ia tidak akan membantu mencapai tahap yang kami mahukan.
"Ia akan menyulitkan lagi misi kami," kata Azmi.
Harapan Malaysia sekali lagi tertumpu kepada Fuad yang memenangi emas pertamanya dalam Sukan SEA dua tahun lalu selepas mencubanya sejak 2009.
Skuad tinju negara dalam persiapan untuk berlatih di luar negara dengan destinasi yang dikenal pasti adalah di Thailand dan Kazakhstan, April depan.
"Memandangkan saya pernah berlatih bersendirian untuk menghadapi Sukan Komanwel dan kejohanan di luar negara, jadi ia bukan satu masalah buat saya.
"Tetapi kalau ada rakan sepasukan di tepi gelanggang lebih bagus dan kehadirannya dalam latihan juga akan menyuntik semangat saya," kata Fuad.