KL2017

Sukan SEA: 1,800 sukarelawan bakal jayakan acara pembukaan

Astro Arena 20/05/2017 | 12:08 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif, Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA dan Para ASEAN 2017 (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong, positif 1,800 sukarelawan yang dipilih bakal menjadi tulang belakang terbaik kepada upacara perasmian dan penutup Sukan SEA 2017, Ogos ini.
Jumlah itu merupakan sebahagian daripada 9,000 sukarelawan yang akan dibahagikan untuk mengemudi upacara perasmian dan penutup.
Kursus di bawah skop berkenaan dihadiri 900 sukarelawan setakat ini di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membantu kelancaran upacara perasmian yang digambarkan bakal mencetuskan fenomena.
Sukarelawan yang dikenali sebagai 'Faktor Wow' itu kini dalam fasa akhir latihan bagi mempersiapkan diri daripada segi keterampilan dan mental dalam misi menjadi penganjur terbaik.
"Dalam mana-mana temasya, perasmian merupakan acara yang penting dalam memberi bayangan awal kepada semua yang terlibat. Kerana itulah, kami memandang serius terhadap aspek perasmian," jelas Zolkples.
Zokples turut menggesa semua pihak agar tidak perlu terlalu khuatir memikirkan venue sukan yang masih dalam proses penambahbaikan.
Beliau memberi jaminan setiap venue akan siap sepenuhnya menjelang bulan Julai bagi memberi peluang kepada atlet menggunakan venue mereka terlebih dahulu sebelum bermulanya temasya itu.
"Agak lewat daripada jadual asal tetapi masih dalam perancangan untuk menganjurkan Pra Sukan SEA," tambah Zolkples.
;