SUKAN LAIN

Sukan, politik tidak boleh dicampur-aduk -- Tunku Imran

Penulis Jemputan 31/12/2017 | 11:53 MYT
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar, kecewa dengan tindakan segelintir pemimpin persatuan sukan kebangsaan yang memanipulasi atlet dan ahli mereka untuk agenda politik.
Tunku Imran berpendirian sukan tidak patut dicampur-aduk dengan politik selepas beberapa pemimpin persatuan menuntut dana kerajaan untuk menghadapi musim 2018.
Tuntutan itu turut didakwa diiringi ugutan jika agensi kerajaan tidak mampu memenuhi permintaan mereka.
"Ahli politik memiliki agenda yang berbeza apabila datangnyanya pilihanraya. Kuasa politik ini tidak seharusnya digunakan dalam sukan," katanya.
Tunku Imran yang kekal dengan pendirian tidak mempertahankan jawatan dalam Mesyuarat Agung Tahunan MOM, Jun depan, turut meminta pemimpin persatuan mengubah mentaliti bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan.
Jika gagal, katanya, maka usaha mengasingkan sukan daripada politik sukar dicapai.
"Persatuan sukan harus sentiasa menyedari bahawa kerajaan tidak akan sentiasa berada bersama mereka. Saya berpendapat mereka harus berdiri dengan sendiri daripada segi kewangan," katanya lagi.
;