Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur Ke-9 dibuka secara rasminya dengan penuh gilang-gemilang di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Pada permulaan upacara pembukaan, kemunculan maskot "Rimau" membuat penampilan sebagai tanda semangat dan jati diri mewakili semua atlet para yang bertanding dalam edisi kali ini.
Upacara bermula dengan tradisi temasya sukan, iaitu perbarisan untuk memperkenalkan kontinjen negara yang bertanding yang dimulakan negara Brunei Darussalam yang membawa seramai 27 atlet, diikuti Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam.
Saat yang ditunggu-tunggu pastinya kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 325 atlet, dengan tiga juara Sukan Paralimpik Rio 2016, Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Muhamad Ridzuan Puzi, menjadi pembawa bendera dengan segak berbaju Melayu moden.
Berakhir ucapan daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, mengisytiharkan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur Ke-9 bermula dengan rasminya.
Upacara menyalakan obor dilakukan oleh lima atlet para negara yang terdiri daripada Hasihin Sanawi (memanah), Afiq Afify Rizan (berbasikal), Krishnan Kumar dan Siti Nor Radiah Ismail (olahraga) serta perenang para negara, Fraiden Dawan.
"Bersatu dengan semangat juara, bertunjangkan inspirasi daripada atlet luar biasa, dengan keyakinan yang tinggi dan semangat yang padu pasti akan membawa kita menuju ke puncak kejayaan gemilang selama-lamanya," kata Khairy.
"Kali ini beraksi di tempat sendiri, kami mahu berikan yang terbaik dan mengharumkan nama negara," kata atlet angkat berat para negara, Jong Yee Khie.
"Kami amat bangga untuk beraksi di hadapan jutaan rakyat Malaysia dan mahu mempamerkan prestasi terbaik," ujar atlet olahraga para Malaysia, Mohd Nurdin Ibrahim.
Penulis Jemputan
Sun Sep 17 2017