PARA ASEAN 2017
Sukan Para ASEAN: Skuad goalball negara yakin akhiri penantian emas
Skuad goalball para negara berhasrat menamatkan penantian pingat emas bagi pasukan lelaki selepas lima kali meraih perak dalam Sukan Para ASEAN.
Sasaran satu emas telah diletakkan kepada pasukan lelaki dan sekurang-kurangnya gangsa bagi wanita untuk Sukan Para Kuala Lumpur dari 17 hingga 23 September ini.
Mereka bertekad ingin merampas kejuaraan daripada musuh tradisi, Thailand, selepas lima kali tewas kepada negara itu sejak tahun 2005 di Filipina.
Iklan
Mereka optimis mampu mengalahkan Thailand selepas menjalani latihan intensif selama 10 hari di China bulan lalu selain turut melakukan kajian menerusi rakaman permainan pihak lawan.
"Saya mengutamakan stamina atlet dan kemahiran lain daripada yang lain. Selepas berpeluang mengadakan perlawanan di China, banyak teknik yang kami pelajari," kata jurulatih pasukan, Muhammad Yazid Abdullah.
Sementara itu, skuad wanita pula melahirkan keyakinan mampu meraih pingat dalam penampilan sulung sekalipun tidak pernah menjalani latihan di luar negara sebelum ini.
"Kami mengadakan sesi latihan dengan pasukan remaja lelaki sekolah. Itu lah salah satu persiapan terbaik selain bertemu dengan pasukan lelaki," tambah Yazid.
Must-Watch Video