SUKAN LAIN

Sukan Olimpik Musim Sejuk: Julian, Jeffrey buka lembaran baru

Penulis Jemputan 22/02/2018 | 12:21 MYT
Sejarah tercipta dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk dengan dua wakil Malaysia, Julian Yee dan Jeffrey Webb, menyertai temasya berprestij itu yang juga merupakan kali pertama dalam sejarah sukan Malaysia.
Tiada sebarang pingat diraih kedua-dua atlet itu, namun semangat juang dan juga potensi yang ditampilkan mereka cukup membanggakan.
Webb yang menyertai alpine skiing dalam acara slalom dan giant slalom melakar sejarah selaku atlet ski pertama mewakili Malaysia dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk dan bagi Jeffrey, pengalaman paling manis baginya ialah ketika dia mendapat tahu dia layak ke temasya di Pyeongchang, Korea Selatan itu.
Jeffrey menduduki tangga ke-68 dalam acara giant slalom tetapi gagal menamatkan saingan dalam acara slalom hari ini, begitupun dia mempunyai potensi cerah untuk mara lebih jauh pada masa akan datang.
Selain Jeffrey, Julian turut mengharumkan nama negara di Pyeongchang selain menjadi sensasi dalam kalangan media antarabangsa.
Seperti Jeffrey, Julian juga mencipta sejarah layak ke Sukan Olimpik Musim Sejuk buat julung kalinya dan menampilkan aksi yang cukup membanggakan -- Julian gagal mara ke pusingan akhir setelah menamatkan saingan di tangga ke-25 figure skating.
Malah, Julian hanya dipisahkan 1.15 mata untuk layak ke final yang menampilkan 24 peserta terbaik.
Namun, Julian masih mampu tersenyum kerana dia berjaya mencipta rekod terbaik musim ini dengan pungutan 73.58 mata.
;