Sukan Olimpik: ISN beri lampu hijau kepada Shazrin Latif terbang ke Paris

Saufi Tahir
Mei 29, 2024 19:48 MYT
Atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Latif, diberikan 'lampu hijau' daripada Institut Sukan Negara (ISN) untuk beraksi di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 sekaligus menjadi penampilan ketiganya kali ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Mohd Ramli, mengesahkan kecederaan yang dialami Shazrin tidak serius setelah membuat penelitian ujian imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) pada Selasa lepas.
Perkhabaran ini sekaligus melenyapkan kebimbangan terhadap penyertaan Shazrin yang sebelum ini berkemungkinan menarik diri daripada Sukan Olimpik Paris.
Pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou itu ditimpa kecederaan tangan kanan ketika menyertai kejohanan Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis pada April lalu.
Selain shazrin, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, dan pelumba berbasikal trek Shah Firdaus Sahrom juga dihimpit masalah kecederaan.
"Pakar perubatan ISN bertugas dan melakukan pemeriksaan berdasarkan data dan program pemulihan. Setakat ini memang Syazrin dalam landasan ke Olimpik berdasarkan pemantauan kami.
"Kami akan teruskan sokongan kepada Syazrin pemantauan ini akan berterusan sehingga ke Sukan Olimpik nanti.
"Bagi Zii Jia pula, fisiotetapi pihak dia ada berkomunikasi dengan pasukan kami untuk menggunakan fasiliti kami dan sebagainya.
"Kami dapat maklumakan dia dalam keadaan baik ketika ini dan sedikit perkara yang perlu diteliti dalam bantu dia teruskan latihan.
"Bagi Shah pula dia sedang dirawat di ISN, kami percaya ini antara rawatan susulan yang kami lakukan kepada dia agar pemulihan dia dapat dipercepatkan untuk berlatih 100%." katanya kepada Nadi Arena.
#ISN #Sukan Olimpik Paris
;