TERJUN
Sukan Olimpik: Dua terjunan baru jadi taruhan Bertrand Rhodict dalam penampilan sulung
Atlet terjun negara, Bertrand Rhodict Lises, bakal mempertaruhkan dua terjunan baharu untuk penampilan sulungnya di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Pengarah teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas, mendedahkan bahawa Rhodict giat menguasai terjunan tersebut yang mempunyai tahap kesukaran lebih tinggi.
Rhodict kini sedang menyertai kejohanan kebangsaan Australia yang berlangsung hingga 10 Jun, selepas selesai menjalani kem latihan di Singapura pada hujung bulan lalu.
Kejohanan di Australia menjadi pentas terbaik buat Rhodict menguji teknik baharunya sebelum membawa cabaran negara ke Paris.
Bryan, yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Athens 2004 dan Beijing 2008, turut berkongsi mengenai status kecederaan yang menimpa Rhodict.
"Semasa proses belajar terjunan baharu, Rhodict mengalami kecederaan ringan di bahagian triseps dan telah mendapatkan rawatan daripada ISN. Jurulatih mengesahkan bahawa kecederaan itu tidak mengganggu persediaan Rhodict," kata Bryan.