SKUASY

Sukan Olimpik 2028: Skuasy sandaran pingat emas negara

Muzaffar Musa 17/10/2023 | 10:57 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menganggap kemasukan skuasy dalam Sukan Olimpik Los Angeles 2028 sebagai sinar harapan buat Malaysia untuk memenangi pingat emas dalam temasya sukan terbesar itu.
Ia juga dilihat mampu menamatkan penantian emas pertama negara sekiranya tidak dapat direalisasikan dalam edisi di Paris 2024.
Dalam Sukan Asia Hangzhou baru-baru ini, tiga daripada enam pingat emas kontinjen negara disumbangkan oleh kem skuasy.
Ia menerusi Ng Eain Yow dalam acara perseorangan lelaki, S. Sivasangari dalam acara perseorangan wanita dan skuad berpasukan wanita negara.
Ketika ini, Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) mengesahkan sebanyak dua pingat emas ditawarkan dalam acara skuasy di Los Angeles 2028, iaitu menerusi acara perseorangan lelaki dan wanita.
"Program Road to Gold (RTG) adalah untuk dua kitaran Sukan Olimpik," kata Hannah kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Saya telah menyatakan bahawa kami akan membuat penilaian dan bedah siasat mengenai prestasi atlet negara dalam Sukan Asia.
"Atlet yang telah memenangi pingat emas bermaksud mereka sudah kukuh diperingkat Asia untuk diberikan sokongan agar mereka bersedia untuk menghadapi Sukan Olimpik.
"Saya percaya skuasy, yang mempunyai prestasi konsisten dalam melahirkan juara dunia, akan membantu Malaysia untuk mendapatkan pingat emas dalam Sukan Olimpik."
#Skuasy #Hannah Yeoh #Sukan Olimpik Los Angeles 2028
;