SUKAN LAIN
Sukan Olimpik 2024: Program Road to Gold perlu ada kesinambungan -- Newenham
Bekas pengarah Program Podium, Tim Newenham, percaya Program Road to Gold perlu dijalankan secara konsisten dan ada kesinambungan seandainya mahu menjadikannya satu program yang berjaya.
Selain itu, terdapat beberapa aspek lain yang harus diberikan perhatian memandangkan tempoh pelaksanaannya hanya tinggal 16 bulan sebelum Sukan Olimpik Paris 2024 membuka tirai.
Newenham juga menyarankan agar atlet atlet pelapis turut diberikan peluang agar mereka dapat menggalas tanggungjawab yang sepatutnya dalam temasya yang akan datang.
Iklan
"Cabaran terbesar adalah untuk mengekalkannya konsisten dan memastikan ia kekal secara murni dengan pendekatan yang teratur, melihat kepada kesejahteraan atlet sebagai terasnya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Muiz Aziz.
"Dan ia sebenarnya akan berjalan dalam tempoh yang amat singkat. 16 bulan bukannya lama untuk ke Paris. Ia tempoh yang amat singkat ketika ini.
"Jika tugasannya adalah khusus untuk Sukan Olimpik Paris dan Sukan Paralimpik Paris, temasya yang berikutnya adalah fokus yang lain, anda tidak boleh menggabungkannya atau anda tidak akan mendapat pingat atau berpeluang tipis untuk mendapatkan pingat. Ia melibatkan kelompok atlet yang amat kecil.
"Bagaimanapun, kami ketika itu berasakan adalah berbaloi untuk melaburkan wang untuk hasil jangka panjang, jadi Program Podium yang asal dirancang adalah untuk mendapatkan kejayaan berterusan.
"Daripada pengalaman saya, anda boleh melakukan kedua-duanya. Jika anda hanya menumpukan kejayaan jangka pendek, anda akan melabur untuk mendapatkan pulangan yang tidak akan bertahan lama. Tidak akan ada kelangsungannya.
"Generasi atlet seterusnya tidak akan mendapat sokongan bagi temasya yang berikutnya.
"Jadi, saya fikir anda boleh melakukan kedua-duanya. Anda boleh memberikan fokus kepada mereka yang mampu memberikan pingat pada 2024 dan anda juga boleh memberikan sokongan kepada penerusnya," katanya.
Must-Watch Video