Sukan Olimpik 2024: Iruan harap ada peninju negara layak ke Paris
Muzaffar Musa
Mac 7, 2023 21:20 MYT
Mac 7, 2023 21:20 MYT
Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Iruan Zulkefli, memasang impian untuk memastikan ada peninju negara akan layak ke pentas Sukan Olimpik Paris 2024.
Iruan berharap akan ada peninju negara yang akan menamatkan penantian layak ke temasya itu selepas kali terakhir dilakukan Sapok Biki dalam edisi di Atlanta pada 1996.
Iruan, yang menang tanpa bertanding jawatan presiden badan induk itu bagi tempoh 2023 hingga 2027, turut menetapkan sasaran tiga pingat buat skuad negara dalam Sukan SEA Kemboja, Mei depan.
"Dalam mesyuarat agung, kami telah membuat keputusan untuk memohon sukan tinju dimasukkan ke dalam kokurikulum sekolah dan kami juga ingin mengadakan satu pusat latihan untuk atlet kami di IKBN (Institut Kemahiran Bina Negara) Hulu Langat supaya mana-mana atlet remaja atau bakat muda dapat diserapkan untuk mereka belajar di IKBN Hulu Langat," katanya kepada wartawan Astro Arena, Syen Yeoh.
"Ia sudah mendapat kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan kami akan meneruskannya.
"Kami berharap akan ada lebih banyak pusat latihan tinju dapat diwujudkan di setiap daerah kerana kami mahu membangunkan dan membangkitkan sukan tinju sebagai sukan yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia dan seterusnya dapat memenangi pingat di peringkat Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik," katanya.