SUKAN LAIN

Sukan Olimpik 2020: Yiwei buru slot

Bernama 08/08/2019 | 13:19 MYT
Penerjun negara, Chew Yiwei, mengakui berada dalam prestasi terbaik untuk memburu slot ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.
Dia kini mempunyai dua peluang mendapatkan tiket ke Sukan Olimpik, iaitu dalam Kejohanan Terjun Piala Asia di Kuala Lumpur, dari 6 hingga 8 Ogos, dan Piala Dunia 2020, April depan.
Penerjun berusia 24 tahun itu berkata misi utamanya adalah layak ke Sukan Olimpik 2020 selepas gagal layak ke Sukan Olimpik Rio 2016, namun tetap memberi perhatian kepada Sukan SEA 2019 di Filipina dari 30 November hingga 11 Disember depan.
"Saya masih belum layak ke Sukan Olimpik.
"Sebelum ini, saya cuba ke Olimpik Rio, namun tidak layak, tapi tahun ini saya rasa peluang saya lebih baik.
"Saya yakin mampu lakukan dan pamerkan aksi terbaik," katanya kepada media selepas sidang media Team Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
Pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018 itu mengakui dia akan menerima saingan sengit dalam Kejohanan Terjun Piala Asia dengan adanya penyertaan daripada penerjun Jepun dan China.
Hanya pemenang pingat emas akan menerima tiket ke Sukan Olimpik.
"Piala Asia tawarkan tiket ke Tokyo dan hanya pemenang akan mendapatnya. Penerjun Jepun dan China akan datang bertanding, ia akan jadi seperti saingan Sukan Asia, tapi jika tidak layak dalam kejohanan itu, saya akan lakukan dalam Piala Dunia," katanya.
Dalam perkembangan sama, Sukan SEA 2019 di Filipina merupakan kejohanan pemanas badan untuknya membina keyakinan beraksi dalam Piala Dunia.
Yiwei menjadi sandaran skuad terjun negara untuk meraih pingat bagi acara individu Sukan SEA.
Hanya empat acara terjun dipertandingkan di Filipina, iaitu 3m papan anjal individu lelaki dan wanita serta 3m papan anjal seirama lelaki dan wanita berbanding penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang menawarkan 13 pingat emas.
-- BERNAMA
;