SUKAN LAIN

Sukan Komanwel: Skuad muda ping pong berguru di China

Penulis Jemputan 26/01/2018 | 05:40 MYT
Ketua jurulatih skuad ping pong negara, Beh Lee Wei, terpaksa menelan kenyataan berkaitan kesukaran anak buahnya untuk cuba mencapai kejayaan yang pernah dilakarnya sewaktu bergelar atlet dalam Sukan Komanwel Glasgow, empat tahun lalu.
Pencapaian terbaik skuad ping pong adalah dalam temasya Glasgow 2014 melalui acara berpasukan wanita yang meraih pingat perak.
Lee Wei adalah antara seorang tonggak yang terlibat membantu negara sebelum bersara untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih.
Perbezaan ketara dilihat di antara skuad negara empat tahun lalu dan ketika ini, sasaran suku akhir sahaja menjadi objektif utama dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April depan.
Lee Wei tidak menolak kehadiran pemain naturalisasi dari China yang mewakili negara seperti Singapura menjadi punca atlet Malaysia tenggelam.
"Dalam Sukan Komanwel kali ini, tiada lagi pemain senior, kini tinggal pemain pelapis sahaja.
"Saya meletakkan sasaran mara ke suku akhir dan saya harap mereka meraih keputusan yang baik," katanya.
Tujuh atlet yang dipilih ke Sukan Komanwel 2018 bakal menjalani kem latihan selama sebulan di China pada Mac depan sebelum terbang ke Gold Coast.
"China menjadi pilihan kerana teknik dan taktikal mereka adalah yang paling maju di dunia ketika ini," katanya lagi.
;