SUKAN LAIN
Sukan Komanwel: Hizlee mahu padam duka empat tahun lalu
Atlet boling padang lelaki negara, Hizlee Abdul Rais, menyasarkan untuk menamatkan badi berdepan pasangan Scotland, Paul Foster dan Alex Marshall, yang dijangka menjadi halangan terbesar buatnya dan Fairul Izwan Abdul Muin dalam Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast.
Di Glasgow empat tahun lalu, dia dan Fairul Izwan dikecewakan oleh pasangan Scotland itu yang menyaksikan mereka terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara berpasangan.
Dia dan Fairul Izwan sekali lagi tewas kepada seteru mereka itu, kali ini menerusi acara berpasukan dalam Terbuka Australia tahun lalu.
Kegagalan dalam dua perlawanan itu mencetuskan tekad Hizlee untuk menjadikan Gold Coast sebagai medan kebangkitan.
"Jika kami mengatasi kesilapan-kesilapan kecil, ia akan memudahkan laluan kami dalam Sukan Komanwel nanti," kata Hizlee sempena temasya pada April itu nanti.
Mengenai acara yang akan disertai, Hizlee berkata jika terpilih, dia tidak kisah andai beraksi dalam acara berpasukan selain berpasangan. Ini kerana dia dan Fairul Izwan selain Fairuz Abdul Jabal dan Soufi Rosli sering kali diturunkan dalam berpasukan lelaki dalam kebanyakan kejohanan.
"Mungkin jurulatih kerap memberi peluang kepada kami berdasarkan persefahaman yang ditunjukkan," katanya lagi.