Prospek sukan angkat berat negara, Hafiz Shamsuddin, teruja apabila layak ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Julai depan.
Hafiz yang juga pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 memaklumkan bahawa dia tidak meletakkan sasaran peribadi sempena penampilan sulungnya dalam temasya itu, sebaliknya mahu beri aksi yang terbaik buat Malaysia.
"Saya sememangnya tidak sangka. Saya bersyukur dengan rezeki ini.
"Saya di sini untuk membanggakan keluarga khususnya dan negara," katanya di Bukit Jalil.
Selain Sukan Komanwel, atlet kelahiran Ipoh berusia 23 tahun itu juga dalam persiapan menuju Sukan SEA Vietnam, Mei depan.
"Walaupun gemuruh, Insya-Allah saya boleh.
"Saya tidak letakkan sandaran pingat, cuma saya mahu buat yang terbaik dan pecahkan rekod peribadi," katanya yang memiliki angkatan 328kg.
Dia antara enam atlet yang diserap dalam kem negara oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) sejak awal tahun lalu.
Hafiz bakal beraksi dalam kategori bawah 109kg dalam Sukan Komanwel sementara kategori 89kg ke atas untuk Sukan SEA.
Shaiful Shamsudin
Fri Mar 11 2022