ANGKAT BERAT

Sukan Komanwel Glasgow: Angkat berat negara sahut awal format kategori baru

Shaiful Shamsudin 05/02/2025 | 11:18 MYT
Kem angkat berat negara bersedia dengan segala kemungkinan bagi mengharungi musim baru meskipun belum ada kata putus rasmi daripada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).
Persoalan utama membabitkan format kategori berat baru bagi kejohanan kelayakan ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 sedang bermain dalam fikiran ketua jurulatih, Edmund Yeo.
Ada ura-ura mengatakan kategori baru itu hanya akan berkuat-kuasa pada Jun depan.
Skuad negara sedang menjalani sesi latihan bagi kejohanan antarabangsa di China pada Mei depan, namun adakah kejohanan itu akan mengekalkan format kategori semasa.
Kejohanan siri Piala Dunia yang menjadi kempen pembuka tirai musim ini tersebut bertindak sebagai medan mengukur prestasi atlet negara dengan sasaran utama untuk menempah slot awal ke temasya Glasgow 2026 menerusi Kejohanan Komanwel 2025 di India, Ogos depan.
"Kami akan menggunakan satu kejohanan di Rompin pada Jun sebagai platform untuk memantau prestasi atlet dan menyesuaikan diri dengan format kategori baru," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Sementara itu, Edmund menaruh kepercayaan tinggi buat Erry Hidayat kembali menyinar selepas melalui dua tahun yang penuh berliku.
Sejak meraih pingat perak Sukan Komanwel Birmingham, Erry dibelenggu masalah kecederaan dan gagal mengekalkan prestasi cemerlangnya itu.
Anak kepada legenda negara, Hidayat Hamidon itu, dicanang untuk melakukan kemunculan semula dengan buruan slot ke Glasgow menjadi sasaran utama.
"Dalam tempoh dua tahun ini dia sibuk dengan pengajian jadi latihannya tidak berapa latihan.
"Memandangkan ini tahun terakhir pengajiannya jadi kami boleh tingkatkan lagi latihannya.
"Kami akan tetapkan sasaran angkatan berdasarkan kategori kelak.
"Daripada segi teknikal tiada masalah cuma dia perlu tambahkan sesi latihannya.
"Dia dan ayahnya masing-masing mempunyai cara tersendiri. Dia bagus (dalam soal ini,)" katanya lagi.
#Sukan Komanwel #Angkat berat #Sukan Komanwel Glasgow
;