Sukan Komanwel Birmingham: Tiga sukan penentu Malaysia lepasi sasaran pingat -- pemerhati
Muzaffar Musa
Julai 20, 2022 18:50 MYT
Julai 20, 2022 18:50 MYT
Pemerhati sukan negara, Haresh Deol, berkata tiga jenis sukan, iaitu angkat berat, boling padang dan badminton akan penjadi penentu sama ada kontinjen negara akan dapat melangkaui sasaran enam pingat amas dalam Sukan Komanwel Birmingham bermula hujung bulan ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, semalam mengumumkan jumlah sasaran berkenaan, yang dijangka mampu disumbangkan sukan terjun, angkat berat, badminton, gimrama, boling padang dan powerlifting.
Bagi Haresh, badminton, boling padang dan angkat berat mampu menyumbangkan lebih daripada satu pingat emas dan jika ia berlaku, tidak mustahil untuk Malaysia mengatasi pencapaian tujuh emas yang dilakukan dalam edisi di Gold Coast pada 2018.
"Jangkaan saya (dalam sukan-dalam sukan ini), kita mungkin boleh dapat sekurang-kurangnya satu atau dua pingat emas di Birmingham nanti," katanya kepada Nadi Arena.
"Mungkin badminton boleh menyumbangkan dua pingat emas atau setidak-tidaknya satu seperti yang disasarkan.
"Sukan lain yang saya rasa boleh menyumbangkan lebih daripada satu pingat emas adalah angkat berat atau boling padang.
"Saya agak tertarik dengan skuad boling padang kerana mereka selalu menyepi dan apabila ada Sukan Komanwel atau Sukan SEA, mereka akan menyerlah.
"Jadi, saya meletakkan jangkaan terhadap sukan-sukan ini," katanya lagi.