Skuad tinju kebangsaan merancang untuk menjalani latihan berpusat di Korat, Thailand, bermula 2 hingga 24 Julai sebelum berlepas ke Sukan Komanwel Birmingham.
Latihan selama dua minggu itu bakal menyaksikan petinju negara akan persiapan terakhir bersama barisan petinju kebangsaan Thailand.
Menurut jurulatih kebangsaan, Azmi Yunus, dia menyasarkan skuad negara untuk mara ke saingan suku akhir dalam temasya kali ini.
"Kami mahu pastikan mereka lebih bersedia pada saat akhir untuk menghadapi Sukan Komanwel," katanya.
Dalam perkembangan sama, jurulatih triathlon, Albert Tan, memaklumkan bahawa dua atlet negara, Isaac Tan dan Chong Xian Hao, sudah bersedia sepenuhnya untuk bertanding.
Tambah Albert, tiada sebarang sasaran diletakkan ke atas dua atlet itu kerana tidak mahu mereka dalam situasi tertekan.
Albert sebaliknya mengharapkan keputusan yang terbaik mampu dicapai kedua-dua atlet yang bakal tampil dalam Sukan Komanwel sulung buat mereka.
"Kami berada di landasan tepat.
"Perkembangan mereka dipantau. Dari awal tahun sampai sekarang, semuanya mengikut perancangan.
"Atlet negara baru sahaja menyertai kejohanan antarabangsa di Korea Selatan.
"Catatan mereka makin baik jadi kami berharap mereka dapat perbaikinya lagi dalam Sukan Komanwel.
"Kami tidak letakkan sasaran tapi kami mengharapkan catatan yang lebih baik.
"Kami mahu terus maju," katanya pula.
Kontinjen negara bakal mempertaruhkan seramai 69 atlet lelaki dan 38 wanita yang melibatkan 14 jenis sukan, temasya edisi 2022 itu yang berlangsung 28 hingga 8 Ogos depan bakal menyaksikan Bonnie Bunyau Gustin dan S Sivasangari bakal menjadi Pembawa Jalur Gemilang.
Shaiful Shamsudin
Tue Jun 21 2022