OLAHRAGA

Sukan Komanwel Birmingham: Nauraj Singh kecewa lagi

Shaiful Shamsudin 04/08/2022 | 00:16 MYT
Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa, tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila melutut sambil menangis di kawasan zon campuran berikutan menempuh satu lagi episod mengecewakan dalam penampilan ketiga Sukan Komanwel di Birmingham, Stadium Alexander, sebentar tadi.
Selepas menghasilkan pingat perak Sukan SEA Hanoi, Mei lalu, pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 2.30 meter yang berpangkalan di Jerman itu muncul peserta pertama dalam kalangan 13 pencabar yang gagal melepaskan ketinggian kedua 2.10m dalam tiga percubaannya.
Menurutnya: "Saya tidak mempunyai apa-apa untuk diperkatakan pada masa ini. Saya berlatih dengan bersungguh-sungguh dan bersedia dengan baik.
"Saya benar-benar berasa amat selesa sebelum ini tetapi gagal melakukan lompatan dengan baik berikutan kesakitan amat sangat pada tumit.
"Ia sangat mengecewakan dan saya amat marah. Saya boleh menerima kegagalan tetapi Sukan Komanwel hanya menjelma empat tahun sekali."
Dia turut bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaiknya apabila tidak melepasi ketinggian 2.17m dalam pusingan pertama Kejohanan Dunia di Amerika Syarikat, bulan lalu.
#Nauraj Singh #Lompat tinggi #Sukan Komanwel Birmingham
;