Atlet angkat berat negara, Hafiz Shamsuddin, menamatkan saingan final kategori 103 kilogram lelaki Sukan Komanwel Birmingham 2022 tanpa sebarang kedudukan selepas gagal melakukan angkatan dalam acara clean and jerk di Dewan NEC sebentar tadi.

Atlet berusia 23 tahun itu bermula baik apabila melakukan angkatan seberat 148 kilogram dalam percubaan kedua acara snatch.

Bagaimanapun, dia gagal mengangkat bebanan 170 kilogram dalam ketiga-tiga percubaan acara clean and jerk, sekali gus terpaksa akur menamatkan saingan tanpa sebarang kedudukan.

Pingat emas menjadi milik wakil Cameroon, Junior Periclex Ngadja Nyabeyeu, dengang angkatan keseluruhan 361 kilogram manakala wakil Samoa, Jack Hittla Opeloge (358kg) memenangi perak dan Lovepreet Singh (355kg) dari India memenangi gangsa.