ANGKAT BERAT
Sukan Komanwel Birmingham: Erry Hidayat rahsiakan kesakitan demi bapa tercinta
Atlet angkat berat negara, Erry Hidayat, merahsiakan kesakitan dan kecederaan yang dialaminya demi membahagiakan bapanya, legenda angkat berat negara, Hidayat Hamidon.
Erry masih belum pulih sepenuhnya daripada demam denggi dan mengalami kecederaan di tapak tangannya ketika memenangi pingat perak acara 73 kilogram lelaki awal pagi tadi.
Menurutnya, pada satu ketika, dia hampir pitam ketika melakukan angkatan tetapi memilih untuk merahsiakan perkara itu, terutama daripada bapanya atas dasar enggan orang tuanya itu berasa susah hati.
Iklan
Dalam satu temu bual beremosi bersama wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom, dia berkata: "Kondisi saya, kalau orang lain mungkin sudah tidak dapat bertanding.
"Jurulatih juga pada awalnya tidak yakin dengan saya tetapi saya menegaskan bahawa saya cukup cergas.
"Ibu-bapa ketika menghubungi saya juga saya tidak beritahu yang saya masuk hospital (kerana demam denggi).
"Pada ketika itu, platlet saya turun sehingga ke 90 dan kesemua sendi saya tidak boleh bergerak tetapi perlahan-lahan saya berusaha.
"Angkatan saya hari ini semuanya saya memaksa diri demi menghadiahkan pingat buat Malaysia.
"Bapa saya tidak tahu saya sakit kerana saya tidak memberitahunya. Apabila dia membuat panggilan video, saya berpura-pura sihat.
"Ibu saya tahu tetapi saya mohon kepadanya agar tidak memberitahu bapa saya kerana tidak mahu dia risau.
"Kerana dia memang mahu saya fokus kepada Sukan Komanwel dan saya sudah berjanji untuk memberikan pingat emas buatnya.
"Sebelum sakit, saya dapat melakukan angkatan yang lebih baik," katanya.
Must-Watch Video