Sukan Komanwel 2026: Australia bergelut, Malaysia ganti tuan rumah?
Muzaffar Musa
Mac 6, 2024 19:39 MYT
Mac 6, 2024 19:39 MYT
Sukan Komanwel 2026 kelihatan masih tiada tuan rumah berikutan bebanan kewangan yang sedang dihadapi tuan rumah asal, Victoria, Australia dan mereka dilaporkan lebih rela untuk membayar denda US$243 juta (RM1.149 bilion).
Ini kerana berdasarkan media arus perdana negara itu, temasya selama 12 hari berkenaan memerlukan perbelanjaan penganjuran bernilai US$7 bilion (RM33.12 bilion).
Dengan perkembangan itu, peluang untuk menjadi tuan rumah temasya itu kini terbuka kepada kesemua negara-negara Komanwel.
Situasi itu menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat sukan tanah air mengenai sejauh manakah kewajaran Malaysia untuk membida menjadi tuan rumah temasya berkenaan.
Menerusi kenyataan rasmi Konfederaasi Sukan Komanwel (CGF), jika ada negara yang berminat untuk menjadi tuan rumah temasya sukan bekas negara jajahan British itu, edisi ke-25 berkenaan berkemungkinan besar ditunda kepada 2027.
Bagaimanapun, jika tiada negara meluahkan hasrat berkenaan, ia mungkin terpaksa dibatalkan.
Mengulas mengenai isu itu, pemerhati sukan negara, Haresh Deol, berkata kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis: "Pada umumnya, menjadi tuan rumah kepada sebarang temasya sukan besar sudah tentu akan mendatangkan pelbagai kebaikan seperti pemulihan ekonomi dan sebagainya.
"Tetapi jika bercakap mengenai Sukan Komanwel 2026 yang akan tiba dua tahun lagi, terdapat pelbagai faktor perlu dilihat, terutama mengenai dana. Adakah kerajaan memiliki dana yang mencukupi?"