Harapan kontinjen negara dalam Sukan Asian Hangzhou, R. Sharmendran, terlepas peluang sekurang-kurangnya meraih pingat perak selepas tumpas dalam separuh akhir karate kumite.
Lebih memeritkan, dia disingkirkan atlet Kazakhstan, Nurkanat Azhikanov, dengan keputusan tipis selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam pusingan pertama menewaskan Davut Nazmyradov 4-2 dan suku akhir dengan mengatasi Sultan Jaman Al Zahrani 5-2.
Namun, cabaran sebenar datang ketika menentang Azhikanov hari ini dan dalam pertarungan selama tiga minit itu, kedua-dua atlet berhati-hati sebelum Azhikanov mendapat yuko untuk satu mata pertama..
Kemudian Sharmendran bangkit untuk melakukan tendangan waza-ari, sekali gus mendahului 2-1 berbaki seminit pertarungan.
Saingan makin sengit dengan Sharmendran dan Azhikanov dapat melakukan tumbukan untuk masing-masing untuk meraih satu mata dan keputusan 3-2 memihak atlet negara.
Begitupun, pada-pada saat genting, Azhikanov melakukan dua tumbukan untuk mendapat yuko bagi menamatkan pertarungan dengan keputusan 4-3.
Dalam penentuan gangsa, Sharmendran bakal bertemu atlet, Nazim Nurlanov, dari Kyrgyzstan.
Shaiful Shamsudin
Thu Oct 05 2023