SUKAN ASIA 2018
Sukan Asia: Thanabalan intai peluang beraksi di Indonesia
Penyerang skuad bawah 23 (B-23) tahun kebangsaan, N. Thanabalan, mengintai peluang untuk disenaraikan ke Sukan Asia 2018 di Indonesia, bulan depan walaupun sedang menjalani pemulihan kecederaan.
Pemain skuad Liga Super Negeri Sembilan itu mengalami kecederaan lutut ketika menjalani latihan bersama pasukannya, minggu lalu, sekali gus menyaksikan pengendali skuad B-23 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, tidak memanggilnya untuk sesi latihan pusat skuad berkenaan yang bermula Ahad lalu.
“Doktor pasukan yang merawat saya menjangkakan kecederaan saya mengambil masa antara tiga ke empat minggu untuk pulih sepenuhnya.
Iklan
"Saya rasa sempat pulih untuk beraksi sekiranya dipanggil oleh jurulatih kerana perlawanan pertama di Sukan Asia adalah pada 14 Ogos ini,” katanya kepada Bernama.
Ditanya mengenai peluang Negeri Sembilan dalam Liga Super, Thanabalan yang membantu Malaysia meraih pingat perak dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, yakin skuad Rusa itu mampu mengekalkan rentak positif untuk terus kekal bersaing dalam liga berkenaan, musim depan.
“Semua pemain import berada dalam keadaan terbaik ketika ini dan ketiadaan saya tidak menjejaskan perancangan jurulatih.
"Saya yakin Negeri Sembilan mampu meraih keputusan positif dalam baki perlawanan Liga Super selepas ini,” kata anak jati Seremban itu.
Negeri Sembilan menduduki tangga ke-11 daripada 12 pasukan dengan kutipan 12 mata setelah beraksi 17 perlawanan setakat ini.
-- BERNAMA
Imej: Asiana
Must-Watch Video