SUKAN LAIN
Sukan Asia: Shu Wai harap MOM hantar wakil acara berpasukan gimnastik
Jurulatih pasukan negara, Ng Shu Wai, berharap Majlis Olimpik Malaysia (MOM) membuka peluang untuk menghantar wakil acara berpasukan gimnastik dalam Sukan Asia Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September depan.
Menurutnya, segalanya terserah kepada MOM, sama ada Malaysia akan menghantar wakil dalam saingan acara berpasukan atau sekadar bergantung kepada aksi individu semata-mata.
"Bagi saya, kalau MOM memberi peluang kepada kami untuk pergi sebagai satu pasukan, kami lebih yakin dan bersemangat kerana ia bukan melibatkan individu. Saya berharap kami boleh pergi secara berpasukan," kata Shu Wai.
Iklan
Namun, melihat kepada prestasi dalam Sukan Komanwel Gold Coast di mana skuad negara gagal membawa pulang sebarang pingat, ia jelas menyukarkan lagi hasrat yang cuba disuarakan Shu Wai itu.
Ditambah pula dengan situasi kecederaan Tracie Ang yang yang belum pulih sepenuhnya, hal itu meletakkan skuad gimnastik wanita negara dalam situasi yang tidak memihak mereka.
"Tracie sudah memulakan latihan tetapi dia tidak stabil lagi. Saya perlu minta nasihat daripada doktor untuk melihat apa yang boleh kami bantunya. Saya berharap dia cepat kembali bersama pasukan," katanya lagi.
Skuad gimastik negara yang dibarisi dua atlet senior, Farah Ann Abdul Hadi dan Tan Ing Yueh, bakal beraksi dalam Kejohanan Dunia di Portugal bulan depan.
Untuk rekod, acara berpasukan tidak dipertandingkan dalam Sukan Asia Incheon empat tahun lalu.
Must-Watch Video