SEPAK TAKRAW

Sukan Asia: PSM tidak setuju tuan rumah mahu gugur acara regu, masukkan acara doubles

Muzaffar Musa 27/02/2025 | 08:28 MYT
Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menggesa agar acara yang telah diluluskan oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) untuk dikekalkan dalam Sukan Asia Jepun di Nagoya tahun depan.
ASTAF dan Jawatankuasa Induk Pengelola Sukan Asia Nagoya (AINAGOC) telahpun meluluskan sebanyak enam pingat emas merangkumi acara regu berpasukan lelaki, quadrant lelaki, regu lelaki, regu berpasukan wanita, quadrant wanita dan doubles wanita.
Bagaimanapun, ASTAF telah menerima sepucuk surat dari Presiden Persatuan Sepaktakraw Jepun, Shunichi Takeshita, pada 15 Januari lalu, yang mencadangkan agar acara doubles dalam kategori lelaki dipertandingkan bagi menggantikan acara regu, meskipun acara itu telah diluluskan oleh AINAGOC.
Sehubungan itu, PSM dalam satu kenyataan sebentar tadi mencadangkan agar acara yang telah diluluskan dan oleh AINAGOC dihormati dan dikekalkan demi pembangunan sukan sepaktakraw di rantau Asia.
"Saya amat tidak bersetuju dengan cadangan daripada tuan trumah untuk menggugurkan acara regu dan memasukkan acara doubles," kata Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan, kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Melainkan mereka menambah acara doubles dan mengekalkan acara regu."
#Sepak Takraw #PSM #Persatuan Sepak Takraw Malaysia #ASTAF #Sumali Reduan #Sukan Asia Jepun