SUKAN ASIA 2018
Sukan Asia: INASGOC bersikap pilih kasih, kata Kok Chi
Pemerhati sukan negara, Datuk Sieh Kok Chi, menuduh Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC) mengamalkan sikap pilih kasih jika tidak melayan permohonan Malaysia mengenai undian acara sepak takraw selepas kesilapan berlaku dalam bola sepak dan hoki.
INASGOC patut memberi layanan sama rata selepas berlaku kesilapan teknikal membabitkan undian sepak takraw.
Ia susulan tindakan INASGOC memberi lampu hijau untuk bola sepak menyenaraikan Palestin dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sementara hoki menerima kemasukan Kazakhstan -- kedua-duanya membabitkan saingan lelaki.
"Kami tidak menyalahkan mana-mana pihak tetapi undian semula telah diberikan kepada sukan bola sepak dan hoki. Sepak takraw juga perlu mendapat layanan sama," kata Kok Chi.
Difahamkan, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail, akan berlepas ke Jakarta esok untuk mengadakan rundingan dengan INASGOC bagi menyenaraikan semula Malaysia dalam acara regu lelaki.
Majlis undian Sukan Asia, awal bulan ini menyaksikan Malaysia diundi hanya dalam berpasangan berpasukan dan regu berpasukan.
Realitinya, Malaysia menetapkan sasaran meraih emas dalam regu selain tidak mempunyai pemain dalam berpasangan berpasukan.