SUKAN LAIN
Sukan Asia: Hua Wei tidak hirau soal kecederaan
Masalah kecederaan ternyata tidak menggugat semangat atlet renang seirama, Stephanie Gan Hua Wei, yang mengetepikan rasa sakit demi memastikan penampilan kali pertamanya dalam Sukan Asia tidak terjejas.
Hua Wei tidak mahu mensia-siakan peluang beraksi dalam Sukan Asia sehingga kesakitan yang dialami di bahagian pinggang dan belakang diabaikan walaupun doktor menasihatinya agar berehat daripada menjalani latihan buat seketika.
"Keadaan saya ketika ini agak teruk, ia memberi kesan dalam pergerakan saya. Lepas latihan, kesakitan begitu dirasai, termasuk ketika tidur.
"Saya terpaksa mengambil ubat penahan sakit. Saya dapat rasakan kesakitan yang teruk di tulang dan otot saya," katanya.
Ketika ini, Hua Wei sekadar menjalani latihan ringan tatkala rakan-rakan yang lain giat menjalani latihan rutin dan disiplin dalam kolam renang.
Turut berdepan dengan masalah kecederaan ialah Zylane Lee Yhing Huey yang baru sahaja menjalani pembedahan bahu, awal tahun lalu.
"Doktor menasihatkan saya agar tidak menjalani latihan tetapi dia tahu saya mahu ke Sukan Asia, jadi saya menjalani fisioterapi dan saya meneruskannya.
"Apa sahaja yang berlaku, saya akan melakukan yang terbaik untuk mewakili negara dalam Sukan Asia," tambahnya.