OLAHRAGA
Sukan Asia Hangzhou: Zaidatul Husniah sasar perbaiki rekod peribadi
Pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, enggan berasa selesa dngan kejayaan memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 4x100 meter yang dilakukan kuartet negara dalam Sukan SEA Kemboja baru-baru ini.
Sebaliknya, dia mahu memperbaiki rekod peribadi terbaiknya dalam Sukan Asia Hangzhou 2022 pada September depan.
Bagaimanapun, Zaidatul Husniah, yang turut akan beraksi dalam acara 100 meter wanita, tidak mahu meletakkan sebarang tekanan buat dirinya demi mendapatkan prestasi terbaik dalam temasya itu.
Iklan
Sebagai rekod, kuartet negara, yang dibarisi Zaidatul Husniah, Azreen Nabila Alias, Nur Afrina Batrisya Mohd Rizal dan Nur Aishah Rofina Aling, melakar 44.58 saat dalam Sukan SEA Kemboja, sekali gus memadam rekod lama, iaitu 45.18s, yang dicatat Zaidatul Husniah bersama Siti Fatimah Mohamad, S. Komalam, dan Nurul Faizah Asma Mazlan dalam Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) ke-22 di India pada 2017.
"Selepas Sukan SEA, saya sudah kembali menjalani latihan seperti biasa kerana ada kejohanan lain yang akan tiba seperti ATF dan Sukan Asia sekiranya saya terpilih," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman.
"Rekod terbaik saya musim ini adalah 11.69s yang dilakukan dalam Sukan SEA. Kalau diikutkan, saingan ATF dan Sukan Asia memang lebih sukar berbanding Sukan SEA.
"Kalau kita lihat, atlet yang bertanding dalam ATF dan Sukan Asia memang lebih baik berbanding Sukan SEA, jadi persiapan kami juga memang sukar kerana kami perlu bersaing dengan lawan yang lebih baik daripada kami.
"Kalau boleh saya mahu melakukan yang lebih baik dalam kejohanan akan datang kerana saya mahu memperbaiki catatan peribadi saya.
"Tetapi saya tidak mahu terlalu memikirkannya bagi mengelakkan tekanan sewaktu latihan," katanya.
Must-Watch Video