WUSHU
Sukan Asia Hangzhou: Tekanan jadi pembakar semangat Tan Cheong Min
Selepas berusaha menurunkan berat badan, juara wushu dunia 2017 dan 2019, Tan Cheong Min, bertekad menebus episod duka lima tahun lalu dengan kilauan pingat dalam Sukan Asia Hangzhou.
Keazaman itu jelas membuktikan bahawa dia tidak dibelenggu tekanan bagi mengalas harapan pingat buat skuad wushu negara setelah prospek utama, Wong Weng Son, gagal melunaskan misinya kali ini.
"Semua orang sudah lama mengenali prestasi saya, tekanan boleh dijadikan motivasi," katanya menjelang acaranya esok.
Cheong Min terlepas pingat dalam penampilan sulung di pentas Jakarta-Palembang 2018 selepas menduduki tempat keempat dalam acara nanquan-nandao.
Pemenang dua pingat emas Sukan SEA kemboja 2023 itu dipisahkan 0.12 mata di belakang pemenang gangsa dari Hong Kong.
Sememangnya, Cheong Min mahu menebus kehampaan itu ketika fizikalnya lebih baik atas faktor penurunan berat badan hasil latihan intensif di Tianjin.
"Latihan selama sebulan di China mematangkan skil skuad wushu negara.
"Prestasi kami semua sudah meningkat," katanya.