SEPAK TAKRAW

Sukan Asia Hangzhou: Skuad sepak takraw kini tumpu kepada pemain muda

Muzaffar Musa 08/10/2023 | 10:30 MYT
Skuad sepak takraw negara kini akan menumpukan kepada pemain muda susulan kegagalan mencapai sasaran satu pingat emas dalam Sukan Asia Hangzhou 2022.
Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebelum ini meletakkan sasaran satu pingat emas dalam temasya berkenaan tetapi terpaksa berpuas hati dengan dua perak selepas tewas kepada Thailand dalam final acara berpasukan lelaki dan beregu lelaki.
Ketua jurulatih skuad negara, Ahmad Jais Baharun, berkata tumpuannya kini adalah untuk memperkasakan skuad muda selepas kegagalan berkenaan.
Pemenang pingat emas Sukan Asia Hiroshima 1994 itu turut mengakui lebih ramai pemain muda berkaliber perlu dilahirkan untuk menandingi kehebatan musuh tradisi, Thailand, pada masa akan datang.
"Kami akan melakukan bedah siasat bersama pihak persatuan dan MSN (Majlis Sukan Negara) dan melihat bagaimana cara untuk kami meningkatkan lagi prestasi pemain, terutama dalam kalangan pemain muda," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Ia supaya kesinambungan prestasi daripada pemain sedia ada sekarang hingga ke pemain-pemain muda dapat diterjemahkan dari semasa ke semasa.
"Setiap pasukan mahukan kejayaan tetapi saya perlu terima dengan hati yang terbuka pencapaian pemain dalam Sukan Asia edisi ini.
"Kita perlu menggembleng tenaga dan usaha untuk mempertingkatkan prestasi bagi kejohanan yang akan datang," katanya.
Hasil bedah siasat itu sememangnya penting buat skuad negara memandangkan tugas besar menanti mereka dalam Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw di Goa, India pada Februari tahun depan.
#Sepak Takraw #Sukan Asia Hangzhou #Ahmad Jais Baharun
;