Sukan Asia Hangzhou: Skuad hoki lelaki ulangi pencapaian buruk Doha

Shaiful Shamsudin
Oktober 6, 2023 16:15 MYT
PAKISTAN 5 MALAYSIA 2
Kekalahan terbaru 2-5 The Speedy Tigers kepada Pakistan dalam penentuan tempat keempat dan kelima hari ini membangkitkan persoalan mengenai situasi di bilik persalinan.
Kem negara dikecewakan lagi dalam kempen Sukan Asia Hangzhou biarpun menggalas misi menggunung merebut pingat emas tetapi akhirnya mengulangi pencapaian terburuk dalam edisi di Doha pada 2006.
Lebih-lebih lagi, mereka mempertaruhkan sebahagian besar barisan sama dalam kejayaan muncul naib juara Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Chennai, bulan lalu.
Kegagalan ini juga menggugat impian skuad kendalian Arul Selvaraj itu untuk mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Paris yang bakal diadakan tahun depan, malah bukan sahaja mencalarkan kredibilitinya dalam merencana strategi ampuh selaku ketua jurulatih.
""Saya tidak tahu nak cakap mana mana, tiada kesimpulan, saya sendiri pun tidak tahu nak cakap macam mana.
"Buat masa ini biarlah ia berlalu. Kami gagal dengan teruk jadi ayuhlah pandang ke depan dengan memikirkan bagaimana untuk melalui kelayakan (Sukan Olimpik).
"Kami tumbang tapi bukannya tidak boleh bangkit. Ini bukan kesalahan presiden dan KHM (Konfederasi Hoki Malaysia), ini kesalahan saya sebagai jurulatih dan pemain-pemain.
"Jadi kepada masyarakat di luar sana, berhenti mengecam presiden dan KHM. Ini tanggungjawab saya dan pemain-pemain, tiada siapa yang perlu dipersalahkan.
"KHM, MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) sudah berikan sokongan penuh," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
#Hoki #Sukan Asia Hangzhou
;