BERBASIKAL
Sukan Asia Hangzhou: Peserta Sukan Olimpik buka mata Anis Amira
Permata baru sukan berbasikal trek wanita negara, Anis Amira Rosidi, melalui suka duka Sukan Asia Hangzhou ini dalam tempoh 24 jam menaiki podium.
Anis Amira yang masih segar dengan kejayaan menggondol pingat gangsa dalam saingan pecut berpasukan tidak dapat meneruskan momentum terbaiknya dalam saingan keirin.
Biarpun mengakui dirinya masih mentah dalam saingan kompetitif, ia tidak menghalangnya menjadikan kekalahan ini sebagai ruang penambahbaikan.
Menerusi perkongsian bersama wartawan Astro Arena, Karl Nunis, Anis Amira berasakan percaturan dalam perlumbaannya harus dipertingkatkan jika berhasrat mencabar kelompok elit Asia.
Peluang beraksi dalam temasya di China ini juga akan digunakan sebagai medan pendedahan memandangkan dirinya sinonim dengan acara berpasukan seperti di Veldrom Chun'an Jieshou, semalam, dengan melakar rekod kebangsaan, 49.025s, di samping Nurul Izzah Izzati Asri dan Nurul Aliana Syafika Azizan.
"Perlumbaan sangatlah sukar, peringkat dunia.
"Lawan saya semuanya sudah layak ke Sukan Olimpik tetapi tiada masalah, saya cuba sebaik mungkin.
"Banyak yang perlu diperbaiki terutama latihan daya tenaga dan taktikal.
"Ini temasya terbesar buat saya dalam acara individu," katanya yang mengakhiri acara keirin Sukan Asia 2022 di tangga ketujuh.