Sukan Asia Hangzhou: Pegawai bertugas patah kaki terkena tukul besi

Ammar Hakim
Oktober 2, 2023 15:25 MYT
Seorang pegawai olahraga patah kaki selepas terkena tukul besi yang dibaling oleh atlet Kuwait, Ali Zankawi, ketika acara tersebut berlangsung pada Sukan Asia Hangzhou 2022, Sabtu lalu.
Pegawai itu yang dikenali sebagai Huang Qinghua duduk di atas kerusi di luar bulatan melontar apabila percubaan Zankawi dibatalkan selepas tukulnya terkena jaring pelindung.
Namun, logam yang mempunyai berat lebih tujuh kilogram itu terkena kaki kanan Huang.
Dia diusung keluar dan menerima rawatan kecemasan di lokasi, sebelum dibawa ke hospital.
Lelaki berusia 62 tahun itu dalam keadaan stabil dan akan dibedah selepas patah fibula kanan, kata media kerajaan China.
Zankawi, pemenang pingat perak pada Sukan Asia 2006 di Doha, memberitahu AFP dia melawat Huang di hospital pada Ahad dan meminta maaf.
"Saya mendapati tukul itu melantun dari tanah ke kaki pegawai itu, jadi saya segera berlari ke arahnya dan cuba membantunya yang berada dalam keadaan terkejut dan kesakitan.
"Selepas saya sampai kepadanya, saya melihat darah mengalir dari kaki, dan saya tahu ia patah.
"Kemudian saya mengikatnya dengan kuat untuk menghentikan pendarahan sehingga ambulans tiba. Saya membantu meletakkannya di atas pengusung ambulans untuk dibawa ke hospital," katanya.
Kredit: Sinar Harian
#Sukan Asia Hangzhou
;