Sukan Asia Hangzhou: Pandelela Rinong raih gangsa 10m platfom individu
Ammar Hakim
Oktober 3, 2023 18:26 MYT
Oktober 3, 2023 18:26 MYT
Penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong, memastikan tambahan koleksi pingat buat kontinjen negara apabila berjaya memenangi gangsa dalam acara 10 meter platfom individu dalam saingan Sukan Asia Hangzhou, sebentar tadi.
Arena Sukan Akuatik Pusat Sukan Olimpik Hangzhou sekali lagi menjadi pentas persembahan barisan penerjun terbaik, tidak ketinggalan, juara Sukan Olimpik Tokyo, Quan Hongchan, menjadi sensasi dua tahun lalu kembali beraksi bagi mengejar gelaran terbaik Asia.
Dalam saingan lima terjunan membabitkan lapan peserta, Pandelela mempamerkan permulaan yang baik apabila dua terjunan awal meletakkan dirinya berada di kelompok tiga terbaik.
Bagaimanapun, dua terjunan berikutnya menyaksikan wakil Jepun, Arai Matsuri, melonjak ke tangga ketiga sekaligus hampir menyaksikan Malaysia terlepas pingat gangsa.
Dalam terjunan terakhir, Pandelela berjaya memastikan rutin disempurnakan cukup memberikan kutipan mata meletakkan dirinya di tempat ketiga.
Untuk rekod, ini merupakan pingat gangsa kedua Pandelela selepas meraih pingat gangsa dalam acara 10m platfom serirama ketika bergandingan bersama Nur Dhabitah Sabri.
Dominasi wakil tuan rumah, Hongchan dan rakan sepasukan, Chen Yuxi, ternyata dalam kelas tersendiri apabila mempamerkan terjunan yang hampir sempurna sekaligus memastikan pingat emas dan perak milik China.