OLAHRAGA
Sukan Asia Hangzhou: Norliyana Kamaruddin idam catatan kebangsaan lompat tinggi
Biarpun tidak diberi peluang beraksi dalam saingan lompat tinggi dalam Sukan SEA Hanoi dan Kemboja, ia tidak menghalang Norliyana Kamaruddin daripada membuktikan kredibiliti sebenarnya apabila mengesahkan tiket ke Sukan SEA Hangzhou, September depan.
Norliyana melakar sejarah tersendiri dalam heptatlon yang turut mempertandingkan acara lompat tinggi daripada keseluruhan tujuh sukan.
Dia merekodkan 1.81m dalam Sukan SEA Phnom Penh bulan lalu tetapi kurang menyerlah dalam disiplin selebihnya untuk menamatkan saingan di tangga kelima.
Iklan
Tetapi catatan itu mengatasi juara Sukan SEA 2023 dari Thailand, Thanlada Thongchomphunut, yang melakukan 1.79m.
"Sebagai atlet, pasti ada impian untuk meraih pingat emas tapi daripada segi keputusan, sudah tentu saya tidak berpuas hati tidak dapat menunaikan impian emas.
"Tetapi saya percaya dalam masa yang sesuai, saya mampu mencapainya di mana-mana kejohanan," katanya di Astro Arena sebentar tadi.
Norliyana kini muncul wakil kelima skuad olahraga negara yang layak secara merit ke temasya di Hangzhou.
Atlet kelahiran Negeri Sembilan itu yang juga merupakan pemegang rekod kebangsaan heptatlon berkongsi hasratnya untuk mengatasi rekod negara lompat tinggi milik Yap Sean Yee iaitu 1.83m.
"Dalam Sukan Asia kali ini, saya harap dapat mengatasi rekod peribadi dalam lompat tinggi dengan catatan 1.83cm.
"Kalau dapat melakukan 1.84cm, pastinya ia satu pencapaian yang besar kerana sejak menceburi olahraga, memang sasaran utama saya adalah lompat tinggi.
"Tapi apabila masuk heptatlon dan sudah melakar rekod kebangsaan, saya menetapkan sasaran lain dan ia membuatkan saya lebih semangat untuk menghadapi Sukan Asia," katanya.
Must-Watch Video