SUKAN ASIA
Sukan Asia Hangzhou: Malaysian Tigress penuh bergaya benam Singapura
Skuad hoki wanita negara melakar kemenangan ke atas Singapura dalam aksi peringkat kumpulan Sukan Asia Hangzhou, sebentar tadi.
Di atas kertas, ini merupakan pertemuan kali ke-12 dengan 11 kemenangan memihak skuad negara dan kali terakhir menang kepada Singapura adalah di Sukan SEA Kemboja dengan keputusan 4-1.
Malaysia hanya memerlukan sembilan minit untuk membuka jaringan menerusi antara tonggak utama, Norfaiezah Saiyuti dan berbaki 19 saat sebelum tamat suku pertama, skuad negara sekali lagi diberi kelebihan pukulan sudut penalti dan tiada masalah buat Siti Arfah menyempurnakan peluang tersebut.
Iklan
Menuju rehat, pakar pukulan sudut penalti negara dengan penampilan ke-133nya, Nuraini Abdul Rashid, menjadikan kedudukan lebih selesa dengan jaringan ketiga.
Suku ketiga lebih agresif, jaringan keempat Malaysia terhasil menerusi Syafi Nurmaizatul sebelum Singapura akhirnya memecah kebuntuan dengan gol padang yang diledak Ng Sardonna.
Nur Afiqah Azhar dan Ayuni Sharuddin menebus kembali kesilapan itu dengan dua lagi jaringan yang penuh bergaya untuk menambah duka pasukan lawan.
Rentak cemerlang itu diteruskan anak buah Nasihin Nubli dan Malaysia akhirnya menutup perlawanan dengan keputusan 8-1.
Must-Watch Video