Sukan Asia Hangzhou: Juri berat sebelah undang tangisan Nurul Hidayah
Muzaffar Musa
September 24, 2023 22:40 MYT
September 24, 2023 22:40 MYT
Atlet teakwondo poomsae negara, Nurul Hidayah Abdul karim, tidak dapat menahan sebak apabila kempunan menyumbang pingat pertama negara dalam Sukan Asia Hangzhou hari ini.
Ia bukan disebabkan masalah prestasinya tetapi apa yang mengundang tangisan itu adalah disebabkan keputusan berat sebelah juri yang menafikan tempatnya dalam separuh akhir
Dalam aksi suku akhir poomsae hari ini, Nurul Hidayah dijangka akan mudah layak ke separuh akhir tetapi dia terkilan apabila keputusan sebaliknya diumumkan.
Sekiranya dia layak, Malaysia akan meraih pingat pertama sekurang-kurangnya dengan kilauan gangsa.
Difahamkan juga, protes yang dilakukan ketua jurulatih skuad negara, Jin Jun Beom, telah mengakibatkan pengadil berkenaan digantung tetapi keputusan itu tidak dapat diubah, di mana kemenangan tetap diberikan kepada atlet Iran, Salahshoiri Marjan.
"Saya pun tidak tahu apa yang jadi tetapi apabila keputusan poomsae pertama keluar, saya agak pelik kerana markahnya terlalu tinggi," kata Nurul Hidayah kepada wartawan Astro Arena, Syen Yeoh.
"Saya rasa saya tidak buat sebarang kesilapan dan dia ada sedikit ketidakseimbangan tetapi markah dia lebih tinggi.
"Dalam poomsae kedua, kami sama-sama tidak melakukan kesilapan, jadi ia tiada masalah, cuma markah pertama agak pelik sedikit," katanya.