Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berpuas hati dan bangga dengan pencapaian kontinjen negara dalam Sukan Asia Hangzhou 2022, yang menutup tirai hari ini.

Kontinjen negara menamatkan kempen di bumi China dengan kilauan enam pingat emas, lapan perak dan 18 gangsa untuk menduduki tempat ke-14 keseluruhan.

Ia juga menyaksikan kontinjen negara melangkaui sasaran 27 pingat tanpa mengira warna yang ditetapkan sebelum temasya itu.

Hannah, ketika ditemui sewaktu melawat ruang kerja Astro Arena di Pusat Penyiaran Antarabangsa Sukan Asia Hangzhou, berkata: "Kami akan membuat penilaian secara terpirinci bersama pakar daripada Universiti Sains Sukan Jepun, di mana kami telah menandatangani memorundum persafahaman bersama mereka.

"Seperti Sukan SEA yang lalu, kami mengkaji setiap pingat itu dan kali ini, kami juga akan melaksanakannya.

"Saya telah meminta untuk kajian itu dilakukan secepat mungkin sebelum bulan depan kerana kita sudah tidak banyak masa menjelang Sukan Olimpik (Paris) tahun depan.

"Dalam Sukan Asia kali ini, sudah terbukti bahawa atlet kita sebenarnya berkelas dunia dan sekiranya diberikan sokongan yang betul serta latihan dan pendedahan yang mencukupi, mereka boleh mengalahkan negara lain yang cukup hebat," katanya.