Sukan Asia Hangzhou: E-sukan cabar China untuk penentuan emas
Shaiful Shamsudin
September 25, 2023 21:00 MYT
September 25, 2023 21:00 MYT
Skuad Arena of Valor (AoV) negara selangkah lagi untuk menggenggam pingat emas Sukan Asia Hangzhou dengan mengalahkan Vietnam 2-0.
Biarpun mengesahkan podium untuk kategori e-sukan yang julung kalinya dipertandingkan, ia tidak menghalang hasrat mereka untuk mencipta sensasi yang lebih besar apabila bakal berdepan wakil tuan rumah, China, bagi penentuan gelaran esok.
"Segala perancangan kami berjalan dengan lancar.
"Selepas melihat corak permainan lawan, kami dapat meramalkan dengan baik.
"Pasukan melakukan dengan baik dan saya bangga dengan mereka," kata ketua jurulatih e-sukan negara, Low Jia Cheng.
Mereka turut menerima suntikan semangat di Pusat Sukan Hangzhou menerusi kunjungan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
"Jangan rasa tertekan cuma buat yang terbaik demi Malaysia, seterusnya menjadi contoh yang baik yang berhasrat yang terbaik di Asia, ini satu kejayaan yang amat cemerlang," katanya.