Sukan Asia Hangzhou 2022 dibuka dengan satu upacara pembukaan penuh gilang-gemilang di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou sebentar tadi.

Stadium dengan gelaran 'The Big Lotus' itu menjadi saksi upacara perasmian penuh meriah dan berteknologi tinggi temasya edisi ke-19 berkenaan.

Tumpuan utama dalam upacara berkanaan adalah persembahan teknologi tiga dimensi (3D) bebas kaca mata, di mana persembahan bunga api tradisional digantikan dengan persembahan bunga api digital dengan animasi dan peralatan 3D, seiring dengan ikrar Sukan Asia Hangzhou untuk menjadi Sukan Asia pertama bebas karbon dan menggunakan tenaga hijau

Upacara itu turut dihadiri dan dirasmikam Presiden China, Xi Jinping, selain pemimpin terkemuka dunia.

Sukan Asia 2022 juga mencipta sejarah tersendiri melibatkan penyertaan terbesar, iaitu seramai 11,831 atlet daripada 45 negara.

Dalam acara perarakan masuk, kontinjen negara berarak masuk sebagai kontinjen ke-22 diketuai Chef-de-mission, Datuk Chong Kim Fatt, sambil Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan S. Sivasangari bertindak sebagai pembawa jalur gemilang.

Malaysia, yang diwakili 288 atlet (188 lelaki dan 100 wanita) akan menyertai 22 daripada 40 sukan yang dipertandingkan dengan membawa sasaran 27 pingat tanpa mengira warna.