Muhammad Arif Afifuddin memastikan skuad karate negara berjaya menyumbangkan satu pingat emas dalam acara kumite 84 kilogram Sukan Asia Hangzhou, sebentar tadi.
Dalam perjalanan melangkah ke final, Arif merekodkan kemenangan ke atas Thanh Nanh Do dari Vietnam di pusingan 16, Sandi Virmanshah (Indonesia) di suku akhir sebelum mengatasi Baek Junhyeok (Korea Selatan).
Halangan terakhirnya merupakan wakil Kazakhstan, Daniyar Yuldashev, pemenang pingat gangsa edisi Jakarta-Palembang 2018, yang berkelebihan daripada segi fizikal ke atas Arif.
Bagaimanapun, Arif yang menamatkan saingan Kejohanan Karate Asia di Melaka di tempat ketujuh, memastikan dia berada di tahap terbaik bagi membuktikan kredibilitinya beraksi di pentas antarabangsa.
Menyedari lawan yang memiliki jangkauan ke atas dirinya, Arif bijak menggunakan kelebihan tersebut untuk melakukan serangan jarak dekat sekaligus berjaya mendahului 5-1.
Daniyar berusaha untuk bangkit dalam perlawanan ini, namun Arif memastikan dia kekal mendahului menerusi pungutan mata demi mata sebelum menoktahkan kemenangan 10-4.
Ammar Hakim
Sat Oct 07 2023