Skuad e-sukan negara mencipta sejarah tersendiri apabila menghadiahkan pingat perak buat Malaysia dalam penyertaan kali pertama mereka Sukan Asia Hangzhou, sebentar tadi.

Dalam pertarungan final Arena of Valor (AoV) ini, skuad negara yang dibarisi Lai Chia Chien, Nicholas Ng, Eng Jun Hao, Yong Zhen Quang dan Chong Han Hui cuba memberikan saingan hebat kepada pasukan pilihan, China, namun terpaksa akur dengan kehandalan strategi yang digunakan tuan rumah untuk tumpas 0-2.

"Kami sudah cuba yang terbaik, walaupun kalah tapi kami banyak belajar dan kami berazam untuk kembali lebih kuat.

"Kami bangga dapat melakar sejarah muncul pasukan e-sukan pertama negara yang memenangi pingat buat Malaysia.

"Saya harap sesiapa yang berminat dengan e-sukan ayuh sertai kami dan berjuang untuk negara," kata Chia Chien di Nadi Arena.

Menurut pengurus pasukan, Wong Kang Woon, kejayaan ini membuktikan bahawa e-sukan bukan hanya sekadar permainan masa terluang, sebaliknya mampu mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa dan selepas ini berharap peluang untuk bermain dalam liga profesional antarbangsa lebih cerah.

"Kami menerima undangan untuk menyertai kelayakan liga profesional jadi saya akan hantar barisan serupa," katanya.